Wednesday, February 25, 2009

Pertolongan, kemenangan
dan kesyukuran


“Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan. Dan kamu lihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong, Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhan mu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima taubat.” (Surah An-Nashr)

Saya begitu tertarik dengan susunan indah ayat-ayat cinta daripada Surah An-Nashr yang diturunkan khusus kepada kita umat yang sentiasa mendapat rahmat daripada-Nya.
Biarpun al-Quran milik umat Islam, saya kira ia juga menjadi wadah kepada semua tanpa mengira agama memandangkan di dalamnya terkandung 1,001 hal ehwal kehidupan dan begitu lengkap bagi mempersiapkan kita untuk menetap di muka bumi ini.
Justeru, bagi yang bukan beragama Islam, teruskan membaca dan saya sarankan anda renung ayat-ayat cinta yang bersifat universal ini dengan hati terbuka dan menyesuaikannya dengan agama dan kepercayaan anda sendiri.
Surah ini saya kira sesuai sekali direnung dan dipertimbangkan masyarakat pada saat kita hilang ketenangan untuk memilih pemimpin dan kepimpinan yang kini bergelut dengan kemelut politik yang luar biasa.
Saya yakin masyarakat kita tambah keliru apabila satu persatu ‘kudis dan nanah’ dilondehkan pelbagai pihak terhadap pemimpin, tidak kira daripada kalangan Barisan Nasional (BN) mahupun Pakatan Rakyat (PR). Kalau suatu masa dahulu pemimpin begitu sinonim dengan nilai-nilai murni, menjadi insan yang dihormati dan punya harga diri tinggi, kini persepsi indah itu mula berubah seiring perubahan masa.
Masyarakat yang dilihat meletakkan harapan tinggi terhadap pemimpin yang dipilih, akhirnya kecewa apabila satu persatu tokoh yang dirasakan mampu membawa mereka ke arah kehidupan yang lebih membahagiakan diserang dengan pelbagai krisis peribadi dan bersifat kepartian. Benar atau fitnah hanya mereka yang diperkatakan dan Yang Maha Berkuasa sahaja yang mengetahui.
Kebenaran ayat cinta ini jelas terbukti apabila saya merenung ‘tsunami politik’ yang kini semakin mengganas sehingga mampu menelan jatuh banyak pemimpin baik kecil dan besar. Banyak daripada mereka sudah tersingkap keburukan dan ketidakikhlasan dalam memimpin. Ada juga yang menjadi mangsa keadaan, ikhlas berjuang namun tidak mampu mencapai kemenangan, mungkin Dia masih mahu menguji tingkat kesabaran insan.
Namun siapa sangka ‘tsunami’ sehebat ini akan berlaku? Dan siapa pula yang membenarkannya berlaku? Saya tinggalkan ini untuk anda renungkan dengan menghayati surah yang tertera.
Pendapat peribadi saya, saya percaya dengan pertolongan Yang Maha Kuasa, kemenangan akan berpihak kepada mereka yang memilih jalan yang benar.
Tidak mustahil sebuah jentera yang ‘kecil’ (tanpa mahu cenderung kepada mana-mana pihak) mampu mencapai kemenangan jika asas perjuangannya ikhlas kerana Allah.
Bagi yang berhasrat menjadi pemimpin, sematkan prinsip sebenar untuk memimpin, lupakan kemewahan dan kesenangan kerana yang dicari adalah keredaan.
Buat yang punya prinsip yang benar namun kurang bernasib baik dek hentaman fitnah dan dibenci, yakinlah akan pertolongan-Nya, suatu ketika penghormatan itu akan kembali dan kemenangan akan diperoleh.
Bagi yang diberi peluang membuat perhitungan, tanggungjawab besar berada di atas bahu anda. Pilihlah jentera-jentera berprinsip, bertanggungjawab dan tidak bertuhankan nafsu.
Saya percaya pertolongan daripada Yang Maha Kuasa akan membawa kemenangan kepada mereka yang memilih jalan-Nya dan pada ketika itu, kita akan melihat semakin ramai manusia memilih jalan Allah (jalan ke arah kebaikan). Sebagai hamba-Nya, jangan lupa untuk bertasbih dan sujud syukur atas limpah kurnia-Nya.